KUALA LUMPUR, 5 September:

Kumpulan Otai Reformasi 1998 menggesa kerajaan dan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap himpunan Maruah Melayu atau dikenali sebagai ‘Baju Merah’ yang akan diadakan 16 September dan 10 Oktober ini.
Jurucakap kumpulan itu yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pandamaran, Ronnie Liu mendakwa himpunan tersebut berunsurkan perkauman berdasarkan perkataan “darah” dalam motonya iaitu “Himpunan Maruah Melayu, Tanah Tumpahnya Darahku”.
Beliau mendakwa kumpulan tersebut mempunyai baju yang direka khas, laman web dan poster yang menampilkan bayang individu bertanjak dengan melompat sambil menghunuskan parang serta kata-kata yang berunsur keganasan.
“Sekiranya mahu mengadakan perhimpunan ianya perlu dilakukan secara aman tetapi poster yang dipaparkan terdapat perkataan darah, parang dan ini dianggap bahaya.
“Kami berharap polis dan Perdana Menteri untuk mengambil tindakan sebelum perhimpunan itu diadakan,” katanya ketika ditemui di luar Masjid Jamek di sini.
Beliau berkata, kumpulan tersebut akan membuat laporan di Balai Polis Daerah Dang Wangi supaya tindakan dapat diambil.
Ronnie turut menamakan presiden Persatuan Veteran Tentera Malaysia (PVTM) Mohd Ali Baharom dan Ketua Umno Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos sebagai penganjur himpunan itu.
Pada masa sama, beliau turut menyeru Perkasa dan Perkida untuk tidak menyertai himpunan tersebut susulan nama dua pertubuhan itu dikatakan akan turut serta nanti.